Permintaan resipi dari sdri Habibah Kamsi. harap2 menepati citarasa anda yer.
SAMBAL JENGANAN (1)
(sumber : Puan Zarinah Ibrahim)
BAHAN-BAHANNYA:
200 g kacang tanah
20 tangkai lada kering - direndam supaya lembut
2 ulas bawang putih - gunakan seluruh bawang, jangan dihiris.
1 cbsr rata asam jawa - dibilas
1 cteh penuh belacan
2 cawan air masak
2-3 cbsr penuh gula (sebaiknya gunakan gula merah)
minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA:
Panaskan minyak secukupnya. Goreng kacang tanah dengan api sederhana hingga garing. Angkat dan toskan.
Pejarkan minyak semula. Tumiskan lada kering hingga berubah warnanya (anggaran 1/2 minit). Angkat. Kemudian tumis bawang putih hingga layur. Diangkat dan ketepikan.
Kepal-kepalkan asam biar bulat dan tumis hingga berubah warnanya. Akhir sekali goreng belacan dengan sedikit minyak. Sesudah belacan kelihatan garing, diangkat.
Ramas asam dengan air masak dan tapis. Kisar kacang tanah (dengan kulitnya sekali) agak kasar-kasar dan letakkan dalam mangkuk hidangan.
Kisar pula lada, belacan dan bawang putih serta 1/2 cawan air asam sehingga halus. Selepas itu tuangkan air asam yang selebihnya, gula dan garam. Tuangkan campuran ini ke dalam mangkuk kacang tanah. Dikacau hingga sebati. Jika perlu, tambah lagi setengah cawan air masak, kuahnya mestilah pekat.
CARA MENGHIDANGKANNYA:
Aturkan sayur-sayuran di atas pinggan. Letakkan tahu dan tempeh di atasnya. Tuangkan kuah kacang apabila hendak dihidangkan.
BAHAN-BAHAN JENGANAN:
150 g taugeh - buangkan ekornya
300 g kangkung - dikerat 4 sm panjang
100 g kacang panjang - dikerat 2 sm panjang
3 keping tahu - dibelah 4 (bentuk 3 segi)
2 keping tempeh
150 g kobis - dihiris halus atau kasar-kasar (lihat CARA MEMBUATNYA)
minyak untuk menggoreng
garam secukup rasa
CARA MEMBUATNYA:
Tuangkan air ke dalam periuk. Masukkan satu sudu teh garam. Jerangkan air sehingga mendidih.
Celur berasingan kemudian ketepikan: kacang panjang, kangkung, taugeh. Pastikan airnya mendidih setiap kali bahan di atas dicelur.
Untuk hidangan seperti ini biasanya kobis dimakan mentah-mentah. Oleh sebab itu kobis hendaklah dihiris halus-halus. Potong kasar-kasar sekiranya kobis hendak dicelur seperti sayuran lainnya.
Goreng tahu (jangan terlalu garing). Toskan dan ketepikan, kemudian goreng tempeh hingga garing. Dikerat kecil-kecil supaya mudah dimakan.
JENGANAN (2)
(sumber : Pn Hjh Asfiah Hj Abdullah)
300 g kangkung
300 g kobis
300 g kacang panjang
300 g taugeh
4 biji telur, direbus dan dibelah empat
4 keping tahu, digoreng dan dipotong kecil-kecil
6 keping tempe, digoreng dan dipotong kecil-kecil
asam jawa sebesar limau nipis
50 g gula pasir
garam secukup rasa
Bahan-bahan (A):
(Digoreng dan digiling halus)
600 g kacang tanah
100 g lada kering
2 cm belacan
Cara:
1. Siangkan sayur-sayuran seperti biasa. Celurkan di dalam air mendidih sehingga agak layu. Toskan.
2. Campurkan bahan-bahan A dengan gula. Perahkan asam dengan 440 ml air suam kuku dan tuangkan ke dalam campuran bahan-bahan tadi. Kacau rata-rata. Rasalah garamnya.
3. Untuk menghidangkannya, aturkan taugeh, kacang panjang, kangkung dan kobis di dalam piring. Di atasnya aturkan pula tahu dan tempe serta telur. Kemudian tuangkan kuah di atasnya.
2 comments:
I wish the recipe for the sauce is in English. It would be most helpful. Thank you.
Just translate it.
Post a Comment